18 tahun sebagai badut akhirnya jual nasi lemak

18 tahun sebagai badut akhirnya jual nasi lemak

Selepas 18 tahun menjadi badut, Hassan Mamat terpaksa akur dengan kesan pandemik Covid-19 hinggakan dia kini terpaksa menjadi peniaga nasi nasi lemak di bahu jalan demi mencari rezeki.

Sejak itu, Hassan, 45, tidak lagi berpeluang meraih pendapatan mencecah empat hingga lima angka setiap bulan kerana pulangan diterima bergantung dengan hasil jualan nasi lemaknya itu.

Bapa enam anak berumur itu berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk beralih bidang kerana sudah hampir dua dekad mencari pendapatan dengan menghihurkan orang ramai.

Namun, pembatalan dan penangguhan majlis keramaian oleh penganjur sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertengahan Mac lalu hingga kini meletakkan dirinya dalam keadaan sulit.

Menyedari amanah perlu digalas sebagai ketua keluarga, Hassan nekad menjalankan perniagaan murtabak secara dalam talian sebelum membuka gerai nasi lemak terletak tidak jauh dari rumahnya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor.

“Sejak berusia 27 tahun lagi saya mencari rezeki sebagai badut dan pendapatan bulanan saya sebelum ini boleh mencecah antara RM4,000 hingga RM10,000 setiap bulan bergantung jumlah tawaran diterima daripada penganjur.

“Namun, PKP menjadikan rutin hidup saya berubah apabila tidak dapat membuat persembahan seperti dulu. Disebabkan buntu memikirkan cara mencari wang, saya cuba asah kemahiran dengan belajar menebar roti canai dan murtabak di Youtube manakala cara membuat intinya dipelajari dengan kakak menerusi telefon saja.

“Berbekalkan kemahiran itu, saya cuba mempromosi dan menjual murtabak sejuk beku dan siap dimakan menerusi dalam talian. Alhamdulillah, sambutannya menggalakkan tetapi seminggu selepas Aidilfitri, saya tukar perniagaan dengan membuka gerai nasi berlauk masakan Kelantan,” katanya.

Menurutnya, percubaannya itu tidak menjadi apabila pulangan diterima hasil jualan nasi campur tidak memuaskan.

Namun, Hassan tidak berputus asa dan bermula Julai lalu, dia cuba menjual nasi lemak dengan bantuan isterinya Norhidain Napi, 30, di gerai sama.

“Pada hari pertama, saya jual nasi lemak dengan harga RM1.50 sebungkus tetapi menurunkan harga menjadi RM1 keesokannya selepas berlaku satu insiden.

“Insiden itu adalah apabila datangnya seorang pemuda menunggang motosikal ke gerai saya bertanyakan harga nasi lemak tetapi selepas diberitahu, dia terus berlalu pergi.

“Situasi itu membuatkan saya terfikir mungkin ada yang mahu membeli tetapi tidak mampu jadi ia membuka hati saya menjual dengan harga berpatutan,” katanya.

Hassan berkata, gerainya dibuka bermula jam 7 pagi sehingga nasi lemak habis dijual atau selewat-lewatnya 11.30 pagi.

“Kebiasaannya, saya akan bangun jam 3 pagi untuk memasak dan ke gerai selepas Subuh. Pada dua minggu pertama PKPB, nasi lemak saya habis dijual tetapi kini tidak menentu mungkin kerana orang ramai takut keluar dari rumah.

“Diharap, keadaan itu tidak berpanjangan dan buat masa ini saya cuba cari rezeki dengan berniaga.

“Tawaran (badut) bukan tiada langsung, masih ada cuma tidak seperti dulu jadi saya hanya mampu berdoa semoga Covid-19 reda dan keadaan kembali seperti sediakala,” katanya.

Sumber Penuh: https://www.hmetro.com.my/utama/2020/11/642896/badut-terpaksa-jual-nasi-lemak

COMMENTS