Jawatankuasa khas tangani babi hutan dan haiwan perosak

Jawatankuasa khas tangani babi hutan dan haiwan perosak

Satu jawatankuasa khas diketuai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka ditubuhkan bagi menangani ancaman haiwan perosak khususnya hidupan liar kepada pertanian di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata jawatankuasa bertindak itu akan memulakan operasi bersepadu dalam tempoh sebulan lagi bagi menangkap dan menghapuskan haiwan perosak yang mengancam pertanian penduduk setempat.

Berdasarkan statistik dalam tempoh empat tahun bermula tahun 2015 katanya, sebanyak 4,803 aduan diterima membabitkan haiwan perosak seperti gangguan kera, babi hutan dan musang.

“Menerusi mesyuarat EXCO hari ini, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali membangkitkan mengenai aduan orang ramai terhadap ancaman babi hutan.

“Jika diikutkan nisbah, seekor babi hutan betina mampu melahirkan 10 ekor anak, jadi tidak mustahil populasi binatang liar itu mampu mengatasi populasi penduduk di negeri ini sekiranya dibiarkan berlarutan.

“Justeru, kita perlukan badan bertindak yang diurus selia oleh PERHILITAN negeri dibantu oleh beberapa agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Norhizam berkata, pada masa penduduk setempat diingatkan supaya tidak membuang sampah merata-rata sehingga menjadi sumber makanan kepada haiwan perosak.

“Menerusi Operasi Siong yang dijalankan oleh PERHILITAN negeri pada Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 1,651 kera berjaya dihapuskan menggunakan kaedah suntikan dengan daerah Alor Gajah merekodkan jumlah paling tinggi iaitu 748 ekor dihapuskan.

“Bagi haiwan perosak babi hutan, sebanyak sebanyak 1,106 ekor berjaya ditembak dengan kawasan Merlimau dan Serkam merekodkan jumlah hapus babi hutan paling tinggi iaitu masing-masing 176 dan 124 ekor,” katanya.

Sumber Penuh: https://www.melakahariini.my/jawatankuasa-khas-tangani-ancaman-babi-hutan-dan-kera/

COMMENTS