Kanak-kanak diperkosa serta direjam hingga mati

Kanak-kanak diperkosa serta direjam hingga mati

Seorang kanak-kanak berusia lima tahun di India diperkosa dan turut direjam dengan batu hingga mati oleh penyerangnya yang bimbang dia akan memberitahu polis.

Kejadian serangan seksual terbaharu itu berlaku di negeri Odisha pada minggu lalu.

Menurut pihak berkuasa, mangsa pada mulanya dilaporkan hilang daripada rumahnya di perkampungan kecil Kharkhari di daerah Dhenkanal.

Mayatnya bagaimanapun ditemui di hutan berhampiran oleh penduduk yang menyertai usaha mencarinya.

“Keluarga kanak-kanak itu mendakwa dia telah dinoda dan dibunuh kejam. Siasatan telah dilancarkan berdasarkan aduan dibuat keluarga mangsa,” kata jurucakap polis, Suprasanna Mallick.

Kematian menyayat hati kanak-kanak itu berlaku di tengah-tengah protes membantah keganasan ke atas wanita yang semakin meningkat berikutan secara purata sebanyak 90 kes rogol dilaporkan pada setiap hari pada 2019.

Pada awal bulan lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia di hospital selepas 10 hari kejadian mangsa diperkosa sepupunya sendiri di Uttar Pradesh.

Kejadian itu turut mencetuskan protes mega di seluruh negara selepas India digemparkan dengan insiden seorang gadis berumur 19 tahun menjadi mangsa dinoda secara bergilir-gilir pada September lalu.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/110503/KHAS/Isu/Kanak-kanak-dinoda-direjam-dengan-batu-hingga-mati

COMMENTS