Liow tidak tahu rakan dalam parti MCA ada kepentingan

Liow tidak tahu rakan dalam parti MCA ada kepentingan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) mendedahkan, bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai tidak menyedari bahawa rakan separtinya dalam MCA adalah pemegang saham sebuah firma yang memenangi kontrak kementeriannya pada tahun 2015.

Menurut transkrip pendengaran PAC pada 27 Mac 2019, Liow ditanya, sebagai menteri pengangkutan, apakah dia mengetahui bahawa Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng memiliki kepentingan 25 peratus dalam TCSens Sdn Bhd memenangi Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) Dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP).

Pada masa itu, Liow adalah presiden MCA. Manakala Wee adalah ahli jawatankuasa pusat untuk parti itu.

“Saya tidak mempunyai pengetahuan tentang pemegang saham syarikat (pada masa itu). Kami tidak memikirkannya,” kata Liow ketika memberi keterangan bersumpah.

Liow berkata keputusan untuk memberikan kontrak itu kepada TCSens bukan keputusannya sendiri dan jawatankuasa teknikal Kementerian Pengangkutan telah meneliti cadangan syarikat itu serta ia telah menerima lampu hijau dari menteri kewangan.

Pada masa itu, menteri kewangan adalah Najib Abdul Razak, yang juga perdana menteri.

Wee Jeck Seng.
Wee memiliki 25 peratus saham dalam TCSens yang memenangi kontrak RM145 juta bagi mengutip bayaran permit VEP sebanyak RM20 terhadap semua kenderaan asing yang memasuki negara ini dari Singapura.

Liow hanya menyedari penglibatan Wee dalam TCSens selepas Pengerusi PAC Wong Kah Woh membentangkan laporan yang menyorot pengaruh politik dalam pemberian kontrak melalui rundingan langsung, bukan tender terbuka, dan melibatkan dua pihak berasingan dengan kos RM 149.45 juta.

Mengulas hal itu, Liow berkata keprihatinannya adalah sama ada syarikat itu dapat menjalankan tugas atau tidak sahaja.

“Selagi sesuai dengan keperluan kami … (dan) akan dapat melaksanakan (projek) itu,” katanya.

Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendara) kemudian bertanya apakah polisi kerajaan pusat pada masa itu bagi membenarkan para penyokongnya mempunyai kepentingan dalam syarikat yang bersaing untuk mendapatkan kontrak kerajaan tanpa proses tender terbuka.

“Tuan pengerusi (Ronald Kiandee (Bersatu-Beluran). Saya tidak mengetahui mengenai dasar ini tetapi saya rasa soalan itu dituju pada saya ini ada sangkaan jahatlah. Iaitu menyimpulkan sesuatu yang akan mempengaruhi imej saya dan juga ketelusan saya dalam menjalankan tugas saya sebagai menteri.

“Sekiranya ini berlaku. Saya berhak mengambil tindakan undang-undanglah,” kata Liow.

Ronald Kiandee.
Hon Wai ingin menyoal Liow lebih jauh, namun dihentikan oleh Kiandee kerana berpandangan menteri kewangan adalah orang yang tepat untuk menjawab soalan itu.

Wee dipanggil sebagai saksi pada 3 September 2019. Pada masa itu, dia bukan ahli parlimen Tanjung Piai kerana tewas dalam pilihan raya 2018. Bagaimanapun, Wee menang semula kerusi itu semasa pilihan raya kecil Tanjung Piai pada 16 Nov 2019.

Dia memulakan keterangannya dengan menekankan bahawa dia tidak terlibat dalam operasi TCSens dan hanya “sleeping partner”.

Wee berkata dia sedar bahawa rakan perniagaannya – dikenali sebagai Kenneth Tan, yang dikenalinya lebih dari satu dekad – di TCSens berminat untuk membida projek-projek kerajaan.

Wee berkata bahawa dia mengenali pemegang saham lain dengan nama Roslan Ramli tetapi bukan pemegang saham bernama Mizan Zaini.

“(Mereka) berkata kepada saya sebelumnya bahawa mereka mungkin akan mengambil projek kerajaan, tetapi mereka harus ‘bertarung’ (bersaing). Saya memberitahu mereka ‘anda bertarung-lah’ kerana itu adalah masalah syarikat dan ia tidak melibatkan saya. Saya pemegang saham.

“Terpulang kepada syarikat untuk ‘melawan’ dan ‘pertarungan’ mesti mengikuti prosedur kerajaan yang betul,” katanya.

Wee berkata dia ditawar oleh Tan untuk melabur 25 peratus dalam sebuah “syarikat IT” yang memerlukan dia mengeluarkan RM25,000 untuk modal berbayar TCSens sebanyak RM100,000.

“Saya mempercayai rakan-rakan saya. Itu sahaja. Saya tidak tahu perniagaan … Dia menawarkan dan saya membayar 25 peratus dan kemudian jika kita mendapat sesuatu, insya Allah, kita mendapat keuntungan. Itu saja,” katanya.

Wee berkata dia juga tidak pernah mendapat keuntungan dari perjanjian TCSens dengan Kementerian Pengangkutan dan sebenarnya telah kehilangan pelaburannya sebanyak RM25,000 dengan menyerahkan sahamnya tanpa sebarang pembayaran selepas pilihan raya Mei 2018.

Kata Wee, pada masa itu, TCSens juga kehilangan wang dan menghadapi masalah untuk membayar kakitangan mereka kerana kerajaan didakwa menghentikan pembayarannya.

Kiandee (Pengerusi PAC): Okey, maknanya tidak ada apa-apa dapat manfaat daripada syarikat tersebutlah?

Wee: Ya tidak ada, semua tidak ada

Kah Woh: Not even your RM25,000

Wee: Tidak ada

Kah Woh: tidak ada?

Wee: Sudah rugi!

Wee menjadi semakin marah dan memberitahu pengerusi PAC bahawa kehadirannya untuk membincangkan mengenai projek RC/VEP dan bukan mengenai urusan peribadi.

Bagaimanapun dijawab Kiandee bahawa PAC sedang mencari kemungkinan konflik kepentingan.

Berikutan itu, Wee membantah dengan alasan bahawa proses itu dilakukan dengan niat jahat dengan perbelanjaannya.

“Adakah ada ahli parlimen yang tidak berniaga? Ada yang berniaga. Mengapa anda membuat andaian tentang saya? Ada salah sangka (Anda membuat kesimpulan),” katanya, yang mana Kah Woh menjawab bahawa PAC berusaha mendapatkan fakta.

Wong Chen.
Walau bagaimanapun, anggota PAC terus menekan. Wong Chen (PKR-Kelana Jaya, yang kini dikenali sebagai Subang) berkata sejak syarikat itu memenangi kontrak bernilai RM145 juta, penilaian untuk syarikat itu akan sangat besar dan menunjukkan bahawa sekiranya Wee menguanakan sahamnya, dia seharusnya memperoleh keuntungan.

Wee berkata selepas pilihan raya 2018, TCSens menghampirinya untuk mendapatkan lebih banyak dana kerana mereka tidak dapat membayar gaji kakitangan mereka dan ketika itulah dia memulangkan sahamnya secara percuma.

“Saya kata, saya tidak boleh buat apa. Tolonglah ambil balik. Kamu hendak cari orangkah atau tambah manakah pandai-pandailah. Dia kata kerajaan tidak bayar. I cannot do anything (saya tidak boleh buat apa-apa). Jadi, mana boleh saya buat apa-apa. Jadi, mana boleh saya buat apa,” katanya.

Wee memberi jaminan kepada PAC bahawa dia tidak pernah mengatur pertemuan antara pegawai TCSens dan menteri pengangkutan, yang pada masa itu adalah Liow, yang juga presiden MCA.

Dia juga memberi jaminan bahawa TCSens tidak terlibat dalam program tanggungjawab sosial korporat di kawasan Tanjung Piai.

Anggota PAC tidak berpuas hati dan terus menyoal, yang akhirnya Wee mengalah dan mengatakan Tan pernah meminta dia untuk memperkenalkannya kepada tokoh korporat yang terlibat dalam projek “One belt, one road”.

Pada ketika ini, anggota PAC mula mendakwa Wee lebih dari sekadar “sleeping partner”, yang mana Wee membantah lagi, dengan menekankan bahawa dia tidak ada kaitan dengan operasi syarikat dan dia tidak tahu apa-apa mengenai perniagaan.

Bagaimanapun, ketika Wong Chen menyoal latar belakang pendidikannya, Wee berkata dia kelulusan pengurusan perniagaan tetapi menegaskan bahawa dia tidak tahu apa-apa tentang perniagaan kerana dia seorang ahli politik sepenuh masa.

Pemilik utama TCSens, Kenneth Tan atau Tan Chean Suan, memberi keterangan di hadapan PAC pada 23 Oktober 2019. Dia menjelaskan bahawa syarikatnya menjawab permintaan cadangan (RFP) mengenai projek RC / VEP suatu ketika antara 2013 dan 2014.

Ketika anggota PAC menyoal proses RFP, apa sasaran atau garis panduan kerajaa dan siapa TCSens yang mengemukakan cadangan mereka, antara lain pertanyaan, Tan cuba untuk memberikan jawaban.

Sebagai contoh, Tan mengatakan dia telah mengemukakan proposal dibahagian “JPJ” di “bangunan lama” dan tidak ingat siapa yang menerimanya. Dia meminta agar dia dibenarkan merujuk kepada dokumen syarikatnya untuk mendapatkan jawapan.

Dia berkata suatu hari, syarikatnya menerima e-mel dari kerajaan untuk bentangkan “konsep” dan begitulah cara dia memenangi kontrak.

Ketika Tan ditanya secara spesifik apakah dia mendekati Liow dengan proposal itu, dia menjawab dengan tidak.

“Saya tidak melibatkan siapa-siapa dalam MCA. Saya tidak memasuki bangunan MCA sebelum ini. Jadi saya tidak – saya tidak mengenali sesiapa di MCA,” katanya.

Tan kemudian akan mengesahkan kepada PAC bahawa dia mengenali Wee satu dekad yang lalu ketika menjadi timbalan menteri belia dan sukan.

Tan berusia 28 tahun ketika memulakan TCSens.

Tan berkata dia mempunyai diploma dan pernah menjadi peniaga yang aktif. Pada tahun 2008 atau 2009, dia adalah subkontraktor yang menyediakan 15 juta tag RFID (pengenalan frekuensi radio) untuk label CD kepada Kementerian Dalam Negeri.

Ketika ditanya mengapa dia mengundang Wee untuk bergabung dengan TCSens sebagai pemegang saham, Tan berkata ia berkaitan dengan inisiatif Belt and Road.

“Kami tidak mahu terlibatkan apa-apa politik dalam perniagaan. Oleh itu, kami membuatnya bukan untuk ini. Kami berusaha meminta dia untuk memperkenalkan kami dengan perniagaan Belt and Road.

“Ini kerana pada masa itu, Belt and Road sangat terkenal ketika itu. Kami berusaha untuk memiliki lebih banyak perniagaan di luar negara. Jadi, kami hanya meminta untuk memperkenalkan kami sahaja. Ketika dia masuk, dia baru saja sertai kami sebagai slepping partner,” kata Tan.

Tidak yakin dengan kenyataan itu, Steven Choong (PKR-Tebrau) mempersoalkan bagaimana Wee boleh melabur dalam syarikat yang tidak ada rekod prestasi, selain kelayakan Tan yang hanya mempunyai diploma serta tidak ada pengalaman kejuruteraan perisian.

Choong: Apa potensi yang dimiliki syarikat ini? Saya tidak melihat potensi.

Tan: Potensi kami adalah RFID. Saya telah memberitahu bahawa kami mempunyai teknologi yang baik. Sistem yang baik. Anda tengok, kalau anda bercakap tentang kelayakan, saya tidak setuju. Bagaimana dengan jutawan seperti Jack Ma. Dia tidak mempunyai pendidikan yang baik tetapi dia mempunyai perniagaan yang berjaya. Yang Berhormat. Anda tidak boleh menyerang saya secara peribadi dengan mengatakan pendidikan saya tidak baik … Ramai peniaga, mereka tidak mempunyai pendidikan yang baik tetapi mereka mempunyai idea yang baik mengenai perniagaan.

Tan berkata, dia menjelaskan potensi syarikat itu kepada Wee dan yang terakhir yakin.

Ketika ditanya mengenai bekas pemegang saham TCSens, Mizal, yang lebih dikenali sebagai selebriti AC Mizal, Tan berkata dia tidak tahu.

Dia berkata dia mengenali Mizal melalui Roslan kerana kedua-duanya mempunyai anak yang bersekolah di sekolah yang sama.

PAC akhirnya menyimpulkan tiada sebarang kertas cadangan dan justifikasi kukuh bagi Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP).

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata jawatankuasa juga mendapati tiada bukti kukuh dan justifikasi untuk kerajaan menganugerahkan secara rundingan terus projek bernilai RM149.45 juta kepada syarikat TC Sens Sdn Bhd.

Mereka juga menyimpulkan bahawa terdapat pengaruh politik dalam pemberian kontrak dan mendesak SPRM untuk menyiasat perkara tersebut.

Pemuda DAP turut membuat laporan polis semalam bagi mendesak polis mengambil tindakan.

Sumber Penuh:https://www.malaysiakini.com/news/550585

COMMENTS